Adat Resam Masyarakat Melayu

Lawatan dan Kunjungan
Adat Bersalin
Adat Perkahwinan
Adat Kematian

 

Lawatan dan Kunjungan

Masyarakat Melayu menggalakkan kunjung-mengunjung di antara jiran tetangga, sahabat-handai dan saudara-mara. Ini telah menjadi sebahagian daripada budaya kita.

Semasa melawat ke rumah seseorang, pelawat biasanya menanggalkan kasut di depan pintu atau di panggal tangga. Jika dihidangkan jamuan adalah tidak elok ia menolaknya walaupun ia kenyang. Ia hendaklah menjamah sedikit hidangan itu. Lawatan ke rumah orang Melayu tidak harus dilakukan pada waktu senja kerana ketika itu waktu sembahyang maghrib.

Seseorang yang duduk di atas kerusi hendaklah duduk dengan tertib dan sopan. Adalah dianggap tidak sopan jika ia bersilang kaki sehingga nampak tapak kakinya. Semasa sampai dan apabila hendak balik ia harus bersalam dengan tuan rumah dengan menggunakan sebelah atau kedua-dua belah tangan dan selepas itu menyapu ke muka atau ke dada.

 

 

Adat Bersalin


Dalam kehidupan masyarakat Melayu tradisional, banyak peraturan yang telah ditetapkan mengikut adat istiadat mereka. Peraturan adat tersebut perlu dipatuhi dan diikuti dalam proses kehidupan mereka. Proses kehidupan pertama manusia ialah kelahiran yakni detik sejarah seseorang bergelar manusia. Detik menunggu kelahiran seorang bayi sangat mencemaskan seisi keluarga lebih-lebih lagi wanita yang akan melahirkan anak itu. Justeru, dalam masyarakat Melayu, wanita yang akan menerima cahaya mata akan melalui pelbagai proses adat yang sudah menjadi amalan sejak zaman-berzaman lagi.

Amalan adat ini adalah satu proses jasmani dan rohani yang perlu dilalui oleh wanita-wanita yang akan menempuh hari kelahiran anak mereka. Proses jasmani dan rohani yang perlu dilakukan oleh seseorang wanita sebelum atau sesudah bersalin dalam masyarakat Melayu ialah amalan adat seperti adat melenggang perut, adat bersalin, adat menanam uri, adat bercukur rambut bayi, Adat berendoi, dan adat dalam pantang. Kesemua adat-adat tersebut adalah tahap-tahap peraturan yang perlu dilalui oleh wanita Melayu yang akan bergelar seorang ibu.

Di zaman silam, jika seseorang wanita Melayu yang akan melahirkan anak tidak melalui proses adat, dianggap melanggar adat istiadat nenek moyang mereka. Ini bererti, seseorang wanita yang membelakangi adat dianggap sebagai mencelakan masyarakat dan keluarga.

Adat Perkahwinan

Merisik

Pada masa dahulu, merisik tidak dilakukan oleh keluarga lelaki tersebut apatah lagi yang empunya diri. Ia akan dilakukan oleh orang lain yang mungkin jiran kepada keluarga gadis itu.

Biasanya, gadis yang menjadi pilihan adalah mereka yang pandai memasak, tahu menjahit dan sulam-menyulam, bagaimanapun rupa paras bukanlah sesuatu yang dititikberatkan.


Meminang

Rombongan peminangan selalunya akan diwakili oleh saudara pihak lelaki yang terdekat. Rombongan ini akan dilengkapkan dengan sirih junjung. Waktu dahulu pembuka bicaranya merupakan pantun.
Walaupun pada hakikatnya kedua-dua pihak telah setuju, namun mengikut adat dahulu, kata putus akan diberikan beberapa hari selepas rombongan tadi datang.
Apabila kata sepakat telah dicapai barulah pinangan tadi diterima secara sah. Perbincangan akan berkisar kepada perkara-perkara seperti duit hantaran dan jumlah barang iringan yang akan dibawa oleh pihak lelaki. Mas kahwin biasanya akan ditentukan berdasarkan negeri asal atau tempat tinggal pihak perempuan.
Pada waktu ini akan ditentukan juga, sekiranya sudah bertunang pihak perempuan ingin memutuskan tali pertunangan tersebut dia akan membayar segala ganti rugi sekali ganda sebagaimana yang diterimanya. Contohnya jika hantaran pihak lelaki ialah RM4000 maka ia akan berganda sebanyak RM8000.
Tetapi jika pihak lelaki yang mungkir janji, segala wang hantaran tersebut akan dikira sebagai tebus ganti dan tidak dikembalikan kepada pihak lelaki.

Hantaran


Hantaran yang digubah, akan menjadi pengiring kepada majlis pertunangan dan majlis perkahwinan. Tepak sirih akan dijadikan sebagai pembuka bicara dalam majlis ini.
Untuk majlis pertunangan, jarang ada yang meminta hantaran serba satu atau seumpamanya, cukup sekadar apa yang ingin dihadiahkan oleh pihak lelaki. Serba satu akan timbul untuk hantaran ketika nikah dan ia juga turut diiringi dengan juadah, manisan atau sebagainya sebagai iringan.
Hantaran daripada pihak lelaki biasanya dalam bilangan yang ganjil dan akan dibalas oleh pihak perempuan lebih sedikit dan dalam bilangan yang ganjil juga. Contohnya, jika pihak lelaki menghantar 9 barang pihak perempuan akan membalas 11 barang.

 

Adat Kematian

Mengikut ajaran Islam mayat adalah lebih dimuliakan daripada jasad yang hidup. Sebab itulah orang Islam melayani mayat dengan penuh hormat. Adalah menjadi kewajipan kepada mereka untuk menguruskan pengkebumian mayat dengan segera hingga selesai.

Biasanya apabila seseorang Islam meninggal dunia mayatnya diletakkan dalam rumah atau di suatu tempat yang mudah diziarahi. Mereka yang datang berziarah selalunya berdoa atau membaca ayat-ayat suci daripada Al-Quran. Semasa mayat masih ada di dalam rumah biasanya tidak dihidangkan sebarang jamuan atau pun minuman kepada pelawat.

Menurut ajaran Islam mayat hendaklah dikebumikan dengan seberapa segera yang boleh. Sebelum mayat itu dikebumikan ianya dimandi, dikapan dan disemnahyangkan terlebih dahulu. Selepas itu barulah dimasukkan di dalam keranda lalu diusung ke tanah perkuburan. Sahabat-handai digalakkan pergi sama ke kubur kecuali wanita yang sedang uzur bulanan. Di Malaysia setiap kubur orang Islam ditandakan dengan batu nisan.

 

 


 

 

Draf sukatan Pelajaran

Draf Huraian Sukatan Pelajaran Menengah Rendah
Draf Huraian Sukatan Menengah Tinggi
Pemetaan Kanduangan Buku Teks
Sukatan Peperiksaan Bersama Menengah Rendah
Sukatan Peperiksaan Bersama Menengah Tinggi
Latihan
Panduan Menjawab Soalan Peperiksaan
Pengetahuan Bahasa
Artikel-artikel Berkaitan
Isu Bahasa
Isu-isu Semasa
Kesalahan Umum Calon
Sembang-sembang
Budaya Melayu
Satu Minggu Satu Peribahasa
Kepercayaan orang Melayu

 

laman utama