PENDAHULUAN

Sekolah Menengah Persendirian Cina merupakan lanjutan sistem pendidikan ibunda Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) di Malaysia. Selaras dengan matlamat penubuhannya, bahasa Cina telah digunakan sebagai bahasa pengantar untuk tujuan pengajian. Bagi kebanyakan rakyat Malaysia yang berbangsa Cina, bahasa Malaysia merupakan bahasa yang dipelajari selepas penguasaan bahasa Cina. Menurut kajian linguistik, proses pembelajaran bahasa selepas penguasaan bahasa ibunda adalah dianggap Pembelajaran Bahasa Kedua.

Bahasa Malaysia berperanan sebagai Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Rasmi. Kedudukannya bukan sahaja terjamin mengikut Artikel 152 Perlembagaan Malaysia, malahan menurut Dasar Pendidikan Kebangsaan yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1996, Bahasa Malaysia merupakan mata pelajaran teras di semua sekolah rendah dan menengah kerajaan. Oleh itu, pengajaran Bahasa Malaysia turut dititik berat di Sekolah Menengah Persendirian Cina.

Pendidikan Sekolah Menengah Persendirian Cina menitikberatkan pengajaran ketiga-tiga bahasa, iaitu bahasa Cina, bahasa Malaysia, dan bahasa Inggeris. Selaras dengan Penyata Kurikulum Bersama dalam Kertas Cadangan Sekolah Persendirian Cina, Bahasa Malaysia berperanan sebagai bahasa perpaduan dan komunikasi dalam masyarakat yang berbilang kaum di negara ini.

Oleh itu, Sukatan Pelajaran Bahasa Malaysia perlu memberi tumpuan ke atas penguasaan bahasa Malaysia di kalangan pelajar untuk membolehkan mereka menggunakan bahasa Malaysia secara berkesan dalam kehidupan seharian, melanjutkan pelajaran, dan mengaplikasikan dalam bidang pekerjaan. Penguasaan bahasa Malaysia juga harus dilihat sebagai saluran untuk memupuk persefahaman dan interaksi tentang bahasa, budaya, sejarah, dan agama berbilang kaum di Malaysia. Di samping itu, kurikulum Bahasa Malaysia di sekolah Persendirian Cina juga bertujuan meningkatkan semangat perpaduan yang berasaskan sikap saling menghormati, sabar, dan bertoleransi.

MATLAMAT

Matlamat Kurikulum Bahasa Malaysia Sekolah Persendirian Cina adalah untuk melengkapkan pelajar dengan kebolehan penguasaan bahasa Malaysia secara bersepadu. Penguasaan bahasa ini harus berdasarkan kemahiran berbahasa, pengetahuan bahasa, teknik pembelajaran, bidang interpersonal, dan bidang intrapersonal.

Kemahiran dan pengetahuan bahasa merupakan asas kepada seseorang pelajar untuk menggunakan bahasa itu dengan baik dan berkesan. Teknik pembelajaran penting untuk meningkatkan keberkesanan pembelajaran serta mengembangkan kemahiran pembelajaran arah kendiri. Bidang interpersonal berfokus kepada kebolehan berinteraksi sosial, dan memupuk semangat perpaduan. Bidang intrapersonal memberi tumpuan ke atas minat serta emosi pelajar dalam proses pembelajaran.

OBJEKTIF

Pada akhir pengajaran dan pembelajaran Kurikulum Bahasa Malaysia Sekolah Persendirian Cina pelajar boleh:

i. Menguasai kemahiran asas mendengar, bertutur, membaca, dan menulis untuk tujuan berkomunikasi, kehidupan seharian, pekerjaan, mengenali dokumen-dokumen dalam urusan rasmi, memperoleh dan menterjemah maklumat daripada pelbagai sumber media massa cetak serta eletronik;

ii. Mempunyai kemahiran menggunakan kamus, internet, bahan rujukan, dan maklumat-maklumat lain untuk menjalankan proses pembelajaran, dan juga mempunyai kemahiran kognisi serta untuk mempertingkatkan keberkesanan pembelajaran;

iii. Memahami budaya, adat resam, pantang larang, sejarah, kepercayaan, dan kenegaraan yang berkaitan dengan bahasa Malaysia, seterusnya pelajar dapat menggunakan bahasa Malaysia dengan sesuai dan berbudi pekerti, untuk melahirkan nilai murni, semangat perpaduan, dan perasaan cinta akan negara;

iv. Menggunakan pengetahuan bahasa yang dipelajari untuk melanjutkan pelajaran serta sebagai asas mendalami pembelajaran Bahasa Malaysia;

v. Menggunakan bahasa Malaysia dengan yakin bagi sebarang tujuan, dapat menerina kemahiran berbahasa sebagai sebahagian daripada kebolehan berbahasa untuk kebaikan diri sendiri, dan mempunyai sikap positif untuk menguasai bahasa Malaysia.

KANDUNGAN SUKATAN PELAJARAN

Kandungan sukatan pelajaran ini terdiri daripada lima komponen asas yang perlu diajar dan diberi tumpuan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Komponen-komponen asas ini akan dibahagikan dengan terperinci untuk menghasilkan kemahiran, pengalaman, nilai serta kecerdasan pada seseorang pelajar. Walau bagaimanapun, hasil pembelajaran harus dapat menyatupadukan kesemua komponen ini untuk melahirkan kecekapan berbahasa yang menyeluruh dan bersepadu.

Huraian terperinci kandungan sukatan pelajaran ini adalah seperti berikut.

1. Kemahiran Bahasa

Kemahiran Bahasa meliputi kemahiran mendengar, bertutur, membaca, dan menulis. Kemahiran Bahasa ini merupakan teras kepada penguasaan bahasa baku.

1.1 Kemahiran Mendengar

Kemahiran mendengar merujuk kepada keupayaan pelajar mendengar dengan teliti dan memahami perkara yang didengar dalam pelbagai situasi pengucapan seperti cerita, arahan, perbualan, soal jawab, laporan berita, dan perbincangan.

Kecekapan berbahasa bagi kemahiran mendengar adalah seperti yang berikut:

a. Mendengar dan memahami tentang sesuatu yang diperihalkan oleh orang lain dalam kehidupan seharian.

b. Mendengar dan memahami maklumat tertentu seperti fakta, idea, dan hujah-hujah yang terkandung dalam berita, ucapan rasmi serta siaran media massa.

c.Mendengar dan memahami arahan yang dituju kepadanya serta dapat memberi respons ke atas arahan tersebut.

d. Mendengar dan memberikan respons secara lisan dan bertulis tentang sesuatu yang diperihalkan oleh orang lain.

e. Mendengar dan dapat membuat nota ringkas daripada maklumat yang diperoleh menerusi pelbagai bahan sumber.

Kegiatan pembelajaran yang sesuai dijalankan oleh guru untuk meningkatkan kemahiran mendengar di kalangan pelajar:

a. Mendengar rakaman kaset yang mengandungi pelbagai jenis pertuturan seperti perbualan, ucapan, cerita, drama, dan juga pelafazan puisi.

b.Mendengar lagu Melayu yang tema dan bahasanya sesuai dengan perkembangan mental dan emosi pelajar.

c. Pertandingan kuiz di mana pelajar dilatih untuk mendengar soalan yang dibacakan oleh guru serta memberi jawapan yang betul.

d. Menjalankan permainan bahasa yang dapat meningkatkan kemahiran mendengar di kalangan pelajar.

Kegiatan mendengar harus dijalankan berasaskan prinsip berikut:

a. Pelajar mestilah diberi peluang mendengar Bahasa Malaysia yang standard dan fasih.

b. Tajuk dan tema bahan rakaman haruslah sesuai dengan minat dan perkembangan intelek pelajar.

c. Perhatian yang wajar haruslah diberi kepada intonasi, irama, keselamatan, dan perasaan dalam sesuatu petikan yang didengar.

d. Ujian tertentu boleh dijalankan untuk menilai kemahiran mendengar pelajar.

1.2 Kemahiran Bertutur

Kemahiran Bertutur merujuk kepada keupayaan pelajar menyampaikan maklumat, pendapat, perasaan, serta idea yang kritis dan kreatif secara lisan dengan sebutan dan intonasi yang betul secara sopan. Penekanan diberikan pada keyakinan pelajar untuk bertutur serta penggunaan pengucapan yang menggunakan tatabahasa yang sesuai.

Kecekapan berbahasa bagi kemahiran bertutur adalah seperti berikut:

a. Menyebut sesuatu perkataan dengan sebutan yang betul.

b. Bertutur dengan fasih dan dapat memberi pendapat serta pandangan dengan jelas untuk melibatkan diri dalam interaksi sosial.

c. Berbual dan berbincang tentang kehidupan yang berkaitan dengan diri, keluarga, dan masyarakat dengan menggunakan sebutan serta intonasi yang betul.

d. Menyoal untuk mendapatkan maklumat dengan mengemukakan soalan secara jelas dan sopan.

e. Menjawab secara spontan tentang sesuatu perkara atau isu yang dikemukakan terhadapnya.

Kegiatan pembelajaran yang sesuai dijalankan oleh guru untuk meningkatkan kemahiran bertutur di kalangan pelajar:

a. Mengadakan latih tubi sebutan untuk membetulkan kesalahan penyebutan yang telah dikenal pasti.

b. Perbualan secara terpimpin, dialog, dan soal jawab boleh dijalankan untuk memberi peluang kepada pelajar bercakap tanpa perasaan segan, takut, dan bosan.

c. Mempersembahkan satu daya kreatif berdasarkan skrip yang sedia ada atau yang dicipta oleh pelajar sendiri.

d. Mengadakan pertandingan bercerita, perbahasan, forum, temu ramah, ceramah, syarahan, dan sebagainya.

f. Membincangkan berita dan peristiwa semasa, membincang isi yang terdapat dalam satu gambar bersiri, membincang aspek-aspek satu filem atau slaid yang telah diperlihatkan.

Kegiatan bertutur harus dijalankan berasaskan prinsip berikut:

a. Peluang untuk mendengar dan mencontohi pertuturan Bahasa Malaysia yang standard dan fasih oleh pelajar harus diperbanyakan. Selain itu, penggunaan alat bantu mengajar seperti pita rakaman, televisyen harus digunakan sekerap mungkin untuk kegiatan lisan.

b. Bunyi dan kata yang sering disalah sebut seperti /r/ dan /l/, /ng/ dan /ny/, /j/ dan /z/ perlu dikenal pasti dan mengadakan latih tubi untuk membetulkan kesalahan berkenaan. Latih tubi penyebutan haruslah singkat tetapi sering diadakan.

c. Perhatian yang wajar haruslah diberi kepada intonasi, irama dan kelancaran dalam pertuturan. Latihan yang memadai mestilah diadakan untuk membolehkan pelajar bercakap dengan intonasi yang betul dan juga kefasihan yang memuaskan.

d. Pelbagai rangsangan (bergambar dan tidak bergambar) perlu digunakan dan mewujudkan situasi yang disimulasikan untuk mendorong dan mencetuskan pertuturan. Galakan diberi supaya pelajar mahu bertutur dan berani bertutur (tidak takut melakukan kesalahan), dan sentiasa memberi sokongan dan pujian kepada pelajar yang mencuba dan melibatkan diri secara aktif. Pendek kata, keyakinan kendiri dalam pelajar itu sendiri perlu dipertingkatkan.

e. Tajuk dan tema pertuturan mestilah sesuai dengan minat dan perkembangan intelek pelajar. Isu dan masalah semasa adalah sesuai dijadikan tajuk perbincangan.

f. Untuk menambahkan peluang pelajar bertutur dalam Bahasa Malaysia, guru boleh mengadakan kegiatan dalam kumpulan kecil mahupun memberi tugasan kepada pelajar supaya mereka berpeluang berinteraksi dengan masyarakat Melayu tempatan.

1.3 Kemahiran Membaca

Kemahiran membaca merujuk kepada keupayaan pelajar membaca dengan sebutan, intonasi, jeda, dan kelancaran yang betul. Penekanan perlu diberikan pada aspek pemahaman dan kemahiran menggunakan pelbagai teknik membaca untuk tujuan menimba ilmu pengetahuan dan memperoleh maklumat daripada pelbagai bahan bacaan.

Kecekapan berbahasa bagi kemahiran membaca adalah seperti berikut:

a. Membaca secara bersuara/kuat dengan penyebutan dan intonasi yang betul dan juga kelancaran yang sesuai.

b. Memetik isi-isi penting sama ada isi tersurat atau tersirat yang termuat dalam bahan bacaan dengan cepat dan tepat.

c. Memperkaya dan memperluas perbendaharaan kata pelajar supaya meninggikan daya mengerti dan juga menggunakan dengan betul perkataan/frasa dalam konteks ayat.

d. Mentafsir suatu bahan yang dibaca dengan tepat dan menyatakan tafsirannya dengan mnggunakan perkataan sendiri seberapa banyak yang mungkin dengan jelas.

e. Menghayati bahan sastera Melayu dalam bentuk prosa dan puisi.

Kegiatan pembelajaran yang sesuai dijalankan oleh guru untuk meningkatkan kemahiran membaca di kalangan pelajar.

a. Membaca dengan nada yang kuat dan menegaskan penyebutan, intonasi yang betul, dan lancar.

b. Membaca secara senyap dan pantas untuk memahami fakta, idea, isi penting, nilai pengajaran, tema, dan rumusan yang terkandung dalam pelbagai bahan bacaan.

c. Mencari erti atau maksud perkataan, frasa, simpulan bahasa, dan peribahasa yang wujud dalam sesuatu petikan.

d. Menjawab soalan sama ada dalam bentuk lisan atau bertulis untuk menguji kebolehan mengerti dengan menggunakan perkataan sendiri.

e. Memberi tugasan kepada pelajar untuk membaca petikan (sama ada daripada akhbar, novel, cerpen, majalah, dan sebagainya) dan membuat ulasan untuk menunjukkan pemahamannya ke atas petikan tersebut.

f. Membaca petikan kesusasteraan Melayu (prosa dan puisi) untuk memahami dan menghayati keindahannya.

Kegiatan membaca dan kefahaman haruslah dijalankan berasaskan prinsip berikut:

a. Penyebutan dan intonasi haruslah diberi penegasan yang wajar dalam latihan membaca dengan bersuara, dan melibatkan pelajar dalam pengenalpastian dan pembetulan kesalahan.

b. Dalam latihan perbendaharaan kata, petikan berkenaan hanya digunakan sebagai konteks sahaja, dan contoh-contoh patutlah dilanjutkan ke luar petikan. Penekanan yang wajar mestilah diberi kepada penggunaan perkataan/frasa dalam ayat yang betul selain penentuan erti/maksudnya.

c. Bacaan tambahan Bahasa Malaysia harus digalakkan dengan memperkenalkan sumber lain seperti surat khabar, majalah, novel, cerpen, dan sebagainya kepada pelajar. Guru juga boleh memperuntukkan satu masa khas untuk tujuan di atas dalam setiap minggu. Pelajar didorong untuk mencatatkan perkataan/frasa baru yang dipelajari dalam kamus sendiri.

d. Untuk mengelakkan aktiviti bacaan dan kefahaman menjadi sesuatu yang membosankan, isu-isu semasa dan topik-topik hangat juga harus dijadikan bahan bacaan.

e. Latihan penggunaan kamus dengan cekap untuk mencari erti atau penggunaan perkataan tertentu harus dititik berat.

f. Soalan kefahaman mestilah juga menguji kebolehan pelajar untuk merumus, menganalisis dan menilai dan boleh mengaitkan sesuatu di luar petikan misalnya memerlukan pelajar mengemukakan pandangan terhadap sesuatu.

1.4 Kemahiran Menulis

Dalam kemahiran menulis, pelajar harus berupaya menghasilkan pelbagai penulisan dengan tepat dan jelas tentang perasaan, pengalaman diri, dan ilmu pengetahuan yang ingin disampaikan. penekanan harus diberi pada penggunaan ayat yang gramatis, tanda baca, dan ejaan yang betul. Pelajar juga digalakkan menghasilkan karya yang kreatif berdasarkan pemikiran yang kritis dan analitis.

Kecekapan berbahasa bagi kemahiran menulis adalah seperti berikut:

a. Pelajar dapat melahirkan secara bertulis fikirannya, perasaan dan pengalaman dengan jelas, tersusun, logik, dan menggunakan tatabahasa yang betul.

b. Mengembangkan daya cipta untuk menulis sesuatu yang kreatif atau kritis seperti cerpen, cerita imaginasi, pandangan, perbincangan, perbahasan, dan syarahan.

c. Menterjemahkan bahan prosa bahasa tertentu ke dalam bahasa Malaysia Baku dengan memelihara makna asalnya.

d. Menghasilkan rumusan daripada pelbagai bahan prosa.

e. Membolehkan pelajar berkomunikasi secara bertulis dalam urusan rasmi atau rakan sebaya untuk memenuhi pelbagai keperluan.

Kegiatan pembelajaran yang sesuai dijalankan oleh guru untuk meningkatkan kemahiran menulis di kalangan pelajar:

a. Latihan imlak (dictation) di mana pelajar dikehendaki menyalin dengan betul ayat atau perenggan yang dipilih.

b. Latihan menyempurnakan ayat atau urutan ayat dengan perkataan/frasa yang paling sesuai dan tepat.

c. Latihan menyusun semula bahagian-bahagian ayat supaya menjadi ayat yang betul tatabahasanya.

d. Latihan mengatur semula sebilangan ayat supaya menjadi satu perengan yang tersusun dan logik.

e. Penulisan karangan bergambar sama ada berdasarkan sebuah gambar atau satu gambar bersiri.

f. Penulisan surat biasa kepada ahli keluarga dan sahabat.

g. Penulisan surat biasa kepada guru, jabatan kerajaan, dan syarikat untuk pelbagai tujuan.

h. Penulisan notis, ucapan, mesej, kad jemputan, dan sebagainya.

i. Latihan mengenal pasti dan membetulkan kesalahan (termasuk perbendaharaan kata, ejaan, tanda bacaan, imbuhan) dalam sebuah karangan.

j. Menulis rangka karangan yang tajuknya telah diberi.

k. Menulis karangan berformat (laporan, perbahasan, syarahan, ceramah, dan sebagainya) berdasarkan tugas yang diberi.

l. Menilai suatu karangan dari segi kekuatan dan kelemahannya.

m. Mengenal teknik-teknik untuk menghasilkan sebuah karangan yang baik termasuk teknik membuat pendahuluan, penyampaian, dan kesimpulan.

n. Membuat rumusan daripada pelbagai bahan prosa.

o. Menterjemahkan petikan daripada bahasa tertentu ke bahasa Malaysia tanpa menjejaskan makna asalnya.

Kegiatan menulis harus dijalankan berasaskan prinsip berikut:

a. Latihan imlak mestilah diberi penegasan wajar kerana ia memberi latihan bertulis yang berguna kepada pelajar dengan memerlukan mereka menyalin dengan tepat sesuatu yang telah dibaca oleh guru.

b. Latihan yang mencukupi perlu dijalankan untuk membolehkan pelajar membuat ayat-ayat yang betul untuk melahirkan fikiran dan perasaan tertentu.

c. Pelajar mesti diberi latihan yang memadai untuk menulis perenggan yang terdiri daripada urutan ayat yang teratur dan logik.

d. Penulisan karangan pada peringkat awal (menengah rendah) mestilah bersifat terpimpin atau terkawal dalam erti kata guru memberi bantuan dari segi perbendaharaan kata dan/atau kandungan.

e. Guru mestilah menitikberatkan kesalahan yang sering dilakukan oleh pelajar termasuk kesalahan ejaan, tanda bacaan dan imbuhan.

f. Untuk membolehkan pelajar mengenal hasil penulisan yang bermutu tinggi, guru patutlah mendedahkan mereka kepada karya penulisan yang baik daripada pelbagai sumber termasuk bahan yang ditulis oleh rakan sebaya.

2. Pengetahuan Bahasa

Pengetahuan Bahasa berfokus kepada pengajaran dan pembelajaran tatabahasa, kosa kata, peribahasa, sebutan, dan intonasi. Huraian lanjut bagi perkara tersebut dinyatakan di bawah.

2.1 Tatabahasa

Tatabahasa hendaklah dijadikan dasar kecekapan berbahasa dan diajarkan secara terancang untuk berbahasa.

Pengajaran tatabahasa mempunyai tujuan seperti berikut.

a. Memudahkan pelajar mengetahui sistem peraturan struktur Bahasa Malaysia.

b. Pelajar dapat bertutur dan menulis dengan menggunakan Bahasa Malaysia yang betul tatabahasanya.

c. Pelajar boleh mengenal dan menghayati perbezaan dalam erti dan penggunaan perkataan tertentu.

d. Pelajar boleh menggunakan pelbagai jenis frasa/ayat dengan betul untuk melahirkan maksud yang tertentu.

e. Pelajar memperolehi satu kepekaan (sensitiviti) terhadap hukum-hukum tatabahasa Bahasa Malaysia dan juga terhadap kesalahan tatabahasa dalam pertuturan dan penulisan.

Kandungan Tatabahasa

A. Morfologi

Morfologi ialah bidang ilmu bahasa yang mengkaji tentang bentuk kata, golongan kata, dan proses pembentukan kata.

1. Bentuk kata terdiri daripada:

a. Kata tunggal

b. Kata terbitan

c. Kata majmuk

d. Kata ganda

2. Golongan kata terdiri daripada:

a. Kata nama

b. Kata kerja

c. Kata adjektif

d. Kata tugas

3. Proses pembentukan kata Bahasa Malaysia meliputi:

a. Pengimbuhan

b. Pengandaan

c. Pemajmukan

B. Sintaksis

Sintaksis ialah bidang ilmu bahasa yang mengkaji bentuk, struktur dan binaan atau konstruksi ayat. Antara aspek-aspek ayat yang perlu ditekankan termasuk:

1. Binaan ayat yang terdiri daripada subjek dan predikat dan aspek-aspek pembinaan.

2. Jenis-jenis ayat iaitu ayat penyata, ayat tanya, ayat perintah, dan ayat seruan.

3. Konsep ayat aktif dan ayat pasif.

4. Susunan ayat iaitu susunan biasa dan susunan songsang.

5. Binaan ayat proses penerbitan ayat:

a. Ayat tunggal

b. Ayat majmuk

6. Jenis-jenis ayat majmuk, iaitu ayat majmuk gabungan, ayat majmuk pancangan, dan ayat majmuk campuran.

7. Aspek tanda baca

8. Aspek penanda wacana

Prinsip-prinsip yang perlu dijadikan pertimbangan oleh guru.

a. Sebagai unsur yang memang wujud dalam segala aspek bahasa, tatabahasa mestilah digabungjalinkan dengan kemahiran-kemahiran bertutur dan menulis.

b. Guru mesti mementingkan kegiatan menggunakan atau mengaplikasikan sesuatu generalisasi atau hukum tatabahasa yang telah dipelajari oleh pelajar.

c. Bagi tujuan mengukuhkan kecekapan pelajar, guru mestilah bijak memilih dan menjalankan latih tubi yang sesuai. Latih tubi ini boleh dijalankan kerap tetapi mengambil masa yang singkat.

d. Penggunaan contoh-contoh yang sesuai amat penting dan mesti mencukupi.

e. Guru boleh membuat perbandingan antara sesuatu aspek tatabahasa bahasa Malaysia dengan aspek tatabahasa bahasa Cina yang berkaitan.

f. Ketepatan ejaan dan tanda baca mestilah diberi perhatian yang wajar.

g. Guru mestilah menanam tabiat dan kecekapan pelajar menggunakan kamus untuk mendapat jawapan bagi sesuatu keraguan tatabahasa.

2.2 Kosa Kata

Kosa kata terdiri daripada kosa kata umum dan laras bahasa. Penguasaan kosa kata perlu ditingkatkan dan diperkembangkan selaras dengan pertambahan ilmu. Salah satu masalah besar yang dihadapi oleh pelajar ialah kekurangan kosa kata untuk menguasai kemahiran bertutur dan menulis. Oleh itu, kemahiran mendengar dan membaca amat penting untuk memainkan peranan mempertingkatkan penguasaan kosa kata pelajar. Setiap pelajar perlu menyediakan kamus sendiri untuk mencatatkan setiap perkataan baru yang dipelajari. Penekanan harus diberikan pada kosa kata yang lazim digunakan dalam kehidupan seharian.

2.3 Peribahasa

Pengajaran peribahasa meliputi simpulan bahasa, perumpamaaan, pepatah, bidalan dan perbilangan serta kata-kata hikmat dan bahasa kiasan. Pada peringkat ini, guru harus mengutamakan falsafah, kepribadian dan nilai murni yang terkandung dalam peribahasa tersebut. Pelajar bukan sahaja dapat memperkaya dan mengindahkan penguasaan bahasa mereka, malah juga dapat mengenali nilai sosial budaya bangsa yang menggunakan bahasa tersebut.

3. Teknik Pembelajaran

Teknik pembelajaran dijadikan bahagian penting dalam kurikulum bahasa Malaysia. Pembelajaran bahasa bukan sekadar ilmu tetapi penguasaan kemahiran dan kemampuan aplikasi dalam kehidupan seharian. Hasil pembelajaran dan keberkesanan pengajaran amat bergantung pada inisiatif pelajar untuk belajar sendiri. Guru memainkan peranan untuk membekalkan teknik-teknik pembelajaran dan bahan-bahan sumber supaya pelajar dapat mengoptimumkan hasil pembelajaran.

3.1 Bahan Sumber

Bahan-bahan sumber seperti akhbar, majalah, material atas laman web dan kamus serta bahan ilmu pengetahuan dan sastera hendaklah digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran dan juga untuk bacaan luas. Pelajar juga harus didorong untuk memanfaatkan media massa elektronik sebagai alat bantu untuk meningkatkan kemahiran mendengar.

Penghayatan bahan sastera yang berbentuk cerpen, sajak, cerita rakyat, dan puisi juga perlu diberi penekanan untuk menwujudkan semangat cinta akan sastera dan budaya tanah air sendiri, seterusnya pemahaman dan hubungan sesama kaum dapat ditingkat dan dipereratkan.

3.2 Kemahiran Kognisi

Kemahiran kognisi melibatkan proses mental untuk mentafsir mempelajari, dan memahami sesuatu. Untuk mencapai tujuan ini, pelajar harus dibekalkan dengan pelbagai teknik pembelajaran seperti mereka peta minda, gambar rajah pokok, carta aliran, cara menguatkan daya ingatan, kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran memahami perbendaharaan kata baru dalam konteks dan merumus bahan bacaan dalam bentuk grafik. Kemahiran kognisi akan membantu pelajar ke arah untuk belajar sendiri tanpa bergantung pada guru.

3.3 Kemahiran Metakognisi

Kemahiran Metakognisi berkaitan dengan kesedaran individu tentang cara mereka berfikir. Operasi metakognisi melibatkan strategi merancang, memantau, dan menilai proses berfikir. Ketiga-tiga proses ini akan membantu seseorang pelajar untuk menilai pendekatan yang mereka ambil untuk mengatasi masalah pembelajaran mereka. Kemahiran metakognisi boleh bertindak selepas kemahiran kognisi, iaitu seseorang pelajar harus menyedari mengapa cara pembelajaran kurang berkesan unutk menguasai bahasa. Kemahiran metakognisi ini akan memberi ruang kepada pelajar untuk merenung cara pembelajarannya sendiri. Sekiranya dia mendapati cara pembelajarannya kurang sesuai, maka perubahan tertentu perlu diambil untuk meningkatkan hasil pembelajaran. Guru serta rakan sebaya boleh memainkan peranan untuk membantu pelajar yang menghadapi masalah pembelajaran.

3.4 Kecerdasan Pelbagai

Kecerdasan Pelbagai merangkumi verbal-linguistik, logis-matematik, visual-ruang, kinestik, muzik, interpersonal, intrapersonal, dan naturalis. Guru perlu mempelbagaikan persembahan pengajaran dalam pelbagai bentuk sebagai usaha mengembangkan potensi kecerdasan pelajar yang pelbagai. Gaya pembelajaran pelajar yang pelbagai perlu dititikberatkan kerana setiap individu mempunyai kecerdasan dan kebolehan yang berbeza.

4. Hasil Pembelajaran Bidang Interpersonal

Bidang Interpersonal berfokus pada berkomunikasi berasaskan bahasa. Penekanan harus diberikan pada kebolehan pelajar untuk menyampaikan maklumat, perasaan, idea, pandangan, dan permintaan secara bertutur atau menulis.

Kurikulum Bahasa Malaysia ini memberi penekanan pada kebolehan pelajar untuk melaksanakan tugas berdasarkan kemahiran bahasa yang dikuasai. Selain itu, penggunaan bahasa sebagai alat untuk mewujudkan hubungan mesra semasa interaksi sosial amat perlu dipupuk.

4.1 Pengetahuan Peraturan Sosiobudaya

Peraturan sosiobudaya dalam pembelajaran bahasa Malaysia meliputi kesantunan bahasa, laras bahasa, peribahasa, pepatah, dan bidalan. Pelajar perlu didedahkan dengan peraturan sosiobudaya supaya tidak menyinggung perasaan apabila bertutur atau menulis semasa menjalankan interaksi sosial. Penekanan bukan sahaja diberi untuk menggunakan istilah yang sesuai, tetapi juga membentuk tingkah laku yang sopan dan berbudi bahasa.

4.2 Pemupukan Nilai Murni dan Semangat Kebangsaan

Pemupukan nilai murni dan semangat kebangsaan Malaysia adalah perlu memandangkan kita berada di sebuah negara yang berbilang kaum. Nilai murni membawa maksud kesabaran, persefahaman, dan permaafan. Semangat kebangsaan bertujuan menanam semangat cinta akan negara dan bersedia menyumbangkan jasa demi kebaikan negara.

4.3 Kemahiran Berinteraksi dan Berkomunikasi

Kemahiran berinteraksi dan berkomunikasi perlu dijadikan salah satu aspek penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Aktiviti-aktiviti seperti perbualan dialog telefon, menanya untuk mendapatkan perkhidmatan dan barangan, memujuk, memuji, dan sebagainya perlu disisipkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

5. Hasil Pembelajaran Bidang Intrapersonal

Bidang Intrapersonal lebih tertumpu kepada perkembangan dalaman seseorang pelajar. Perkembangan dalaman ini boleh dilihat dari segi wujudnya introspeksi pada seseorang pelajar. Dengan adanya kesedaran dalaman serta motivasi intrinsik yang tinggi terhadap diri sendiri, pelajar tersebut akan sentiasa berusaha untuk melakukan yang terbaik dalam proses pembelajaran.

5.1 Pemupukan Motif dan Minat

Penekanan ke atas keperluan untuk menguasai bahasa Malaysia harus dijalankan sepanjang masa. Guru perlu mencari segala maklumat yang berkaitan dengan pentingnya menguasai bahasa Malaysia selain mempelajari bahasa Cina dan bahasa Inggeris. Pelajar perlu didedahkan dengan keadaan-keadaan di mana mereka akan berhadapan dengan keperluan penggunaan bahasa Malaysia. Keadaan-keadaan yang dimaksudkan termasuk urusan rasmi dengan jabatan-jabatan kerajaan dan mengisi pelbagai borang. Dengan lahirnya motif dan minat untuk menguasai bahasa Malaysia, pelajar akan berusaha untuk menguasai bahasa supaya dapat menyelesaikan tugas pada masa depan.

5.2 Keyakian Diri

Pelajar berhadapan dengan masalah keyakinan diri semasa berhadapan dengan situasi yang memerlukan mereka menggunakan bahasa Malaysia. Perasaan takut salah, malu, segan, dan tidak berani menghalang pelajar daripada memanfaatkan kebaikan menguasai bahasa. Sikap-sikap negatif ini perlu dikikis dan satu cara yang baik ialah menjalankan latih tubi dialog dalam kelas. Suasana belajar yang positif harus diwujudkan, iaitu guru serta rakan sebaya harus memberi sokongan dan galakan kepada pelajar yang berani mencuba. Selain itu, pelajar boleh diberi tugasan untuk mendapatkan maklumat-maklumat tertentu di jabatan kerajaan.

5.3 Memperluas Pandangan

Kurikulum Bahasa Malaysia bukan sekadar dapat meningkatkan penguasaan bahasa, tetapi juga bertindak sebagai satu subjek ilmiah yang dapat memperluas pandangan pelajar. Maklumat-maklumat berkaitan harus dimuatkan dan pelajar boleh mengetahui pandangan ahli-ahli penyelidik tempatan tentang isu-isu tertentu. Pendedahan ini dapat membentuk satu keperibadian menyeluruh dan peka terhadap perkembangan isu-isu semasa.

 


 

Draf Huraian Sukatan Pelajaran Menengah Rendah

 

laman utama