|
|
|
|
|
|
   
   
 
董教总声明
  
董教总与替阵对话

Kenyataan Media 15 Ogos 2002

BAHASA INGGERIS UNTUK PENGAJARAN SAINS DAN MATEMATIK:

PANDANGAN DAN SIKAP RAKYAT PERLU DIHORMATI

Barisan Alternatif (BA) bersetuju dengan sebahagian besar rakyat negara ini yang berpendapat bahawa penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan rakyat merupakan sesuatu yang baik dan perlu untuk menangani globalisasi. Dalam sistem pendidikan negara memang terdapat kemudahan untuk memungkinkan rakyat menguasai bahasa tersebut dengan baik.

Jika terdapat tahap penguasaan Bahasa Inggeris yang tidak memuaskan, maka kerajaan haruslah menerima tanggungjawab sepenuhnya di atas tersebut. Kementerian Pendidikan harus membuat kajian terperinci dan menyeluruh terhadap kegagalan tersebut dan mengemukakan cadangan untuk mengatasinya.

Kementerian Pendidikan perlulah memikirkan cara-cara memantapkan lagi pengajaran Bahasa Inggeris dalam sistem persekolahan. Antara yang perlu dikaji dan didalami ialah keberkesanan kaedah pengajaran Bahasa Ingerís yang dilaksanakan ini. Kajian tersebut perla meliputi aspek-aspek kurikulum, kaedah pengajaran dan suasana pengajaran yang sesuai. Pendekatan tergesa-gesa seperti mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris tidak akan menyelesaikan krisis penguasaan Bahasa Inggeris yang dihadapi sekarang.

BA menegaskan bahawa dasar Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan tidak boleh digugat. Kami menyokong langkah-langkah dan bantahan yang telah disuarakan oleh cendekiawan dan saintis pelbagai kaum yang membantah langkah menggantikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam matapelajaran Sains dan Matematik. Langkah ini akan mempunyai dua kesan: pertama; menggugat kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dan menjejaskan pembinaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu. Kedua; menjejaskan penguasaan pelajar-pelajar di aliran Kebangsaan dan Sekolah-Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Tamil dan Cina terhadap matapelajaran Sains dan Matematik.

BA juga prihatin terhadap implikasi langkah baru kerajaan terhadap hak pendidikan dalam bahasa ibunda. Penukaran bahasa pengantar untuk matapelajaran Sains dan Matematik daripada bahasa ibunda kepada Bahasa Ingerís akan menghakis hak tersebut disamping menjejaskan keberkesanan pengajaran matapelajaran Sains dan Matematik di SRJK Tamil dan Cina.

Kami ingin mengulangi sokongan kami terhadap sikap pelbagai badan bahasa, sastera, sains, kebudayaan dan pendidikan yang telah membantah langkah kerajaan untuk melaksanakan dasar ini secara tergesa-gesa. Kami juga ingin menegaskan bahawa bantahan tersebut disuarakan oleh masyarakat pelbagai kaum.

Kami berpendapat bahawa cadangan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris tidak akan memajukan tahap penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan rakyat. Kajian dan pengalaman pelbagai masyarakat di dunia telah membuktikan bahawa langkah memaksa para pelajar mempelajari sebahagian mata pelajaran dalam satu bahasa dan mata pelajaran lain dalam bahasa yang lain hanya akan mengelirukan para pelajar dan akan menjejas penguasaan mereka terhadap kedua-dua bahasa tersebut.

Oleh kerana langkah ini dilakukan dengan tergesa-gesa, kami yakin bahawa kerajaan tidak akan mampu menyediakan kemudahan-kemudahan yang secukupnya dari segi latihan guru dan penyediaan buku teks dengan baik lagi teratur. Oleh demikian pelaksanaan dasar tersebut sudah pasti akan menyebabkan kadar kegagalan dan krisis pemahaman di kalangan pelajar.

BA juga membantah sekeras-kerasnya sikap serta ugutan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini untuk menggunakan ISA terhadap mereka yang dituduhnya sebagai "ekstremis" yang menentang penggunaan Bahasa Inggeris untuk Sains dan Matematik. Sikap PM itu bukan sahaja tidak adil dan tidak demokratik, tetapi juga telah menodai hak rakyat untuk bersuara mengemukakan pandangan atau bantahan terhadap dasar pemerintah. Dalam isu ini, bantahan sebenarnya tidak sekadar dikemukakan oleh individu, pertubuhan dan akhbar Tionghua sahaja. Bahkan bantahan juga telah dikemukakan oleh pelbagai golongan Melayu yang menganggapnya sebagai mengancam kedudukan dan peranan Bahasa Melayu dalam pendidikan nasional, selain menimbulkan masalah besar kepada para pelajar kawasan desa dan mundur. Badan-badan bahasa dan pendidikan Tamil juga turut menyatakan kebimbangan dan bantahan mereka.

Dr Mahathir dengan sengaja cuba memberikan gambaran seolah-olah penentangan hanya timbul dari kalangan masyarakat Tionghua. Beberapa tokoh seperti Sim Mou Yew dan beberapa badan seperti Dong Jiao Zong dan beberapa akhbar telah dituduh secara khusus sebagai ekstremis. Jelas kelihatan di sini niat jahat untuk memburukkan sesuatu kaum dan mencuba mendapat simpati kaum yang lain - suatu percubaan jahat untuk melaga-lagakan pelbagai kelompok kaum dengan memanipulasi langkah politik yang sebenarnya telah ditolak oleh semua kaum di negara ini.

BA menyeru kerajaan supaya bersikap terbuka dan demokratis menerima pandangan pelbagai pihak dalam menangani isu ini. Kami juga menggesa supaya kerajaan membatalkan hasrat untuk melaksanakan secara tergesa-gesa menukarkan bahasa pengajaran Sains dan Matematik kepada Bahasa Inggeris dan mengkaji secara saintifik, teliti lagi mendalam kaedah yang paling baik dan berkesan untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan rakyat negara ini secara keseluruhannya.

YB DATIN SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL

Presiden, Parti Keadilan Nasional

RUSTAM A. SANI

Timbalan Presiden, Parti Rakyat Malaysia

YB UST. NASHARUDDIN MAT ISA

Setiausaha Agung, Parti Islam SeMalaysia

 
   
Copyright © 2005 ucscam
版权所有 马来西亚华校董事联合会总会(董总)
Persekutuan Persatuan - Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah China Malaysia
United Chinese School Committees Association of Malaysia.(ucscam)   
Lot 5, Seksyen 10, Jalan Bukit, 43000 Kajang, Selangor. 
电邮: resource@djz.edu.my 电话 : 03-87362337 传真 : 03-87362779