|
|
|
|
|
|
   
   
 
回教党青年团声明
 
董教总与回教党青年团对话

DEWAN PEMUDA PAS PUSAT DANLAJNAH PERPADUAN NASIONAL PAS PUSAT

SIDANG MEDIA (14 OGOS 2002)

PERJUANGAN BAHASA IBUNDA BUKAN EKSTRIMIS PERKAUMAN

Dewan Pemuda (DPP) PAS Pusat dan Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) PAS Pusat memandang serius sikap dan pendirian pemimpin-pemimpin Kerajaan BN yang menganggap perjuangan masyarakat Melayu, Cina dan India di negara ini untuk mempertahankan bahasa ibunda sebagai kegiatan ektrimis dan perkauman. Pemimpin BN seharusnya memahami bahawa isu bahasa ibunda ini hanya berbangkit ekoran daripada cadangan Kerajaan BN untuk mengajar subjek matematik dan sains dalam bahasa Inggeris di semua sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan. Kami berpandangan bahawa penggunaan bahasa Inggeris ini akan memberikan kesan yang buruk kepada bahasa kebangsaan dan bahasa ibunda, maka kerana itu kami menentang cadangan tersebut.

Tidak timbul sama sekali soal kami membangkitkan isu perkauman kerana ia bukan hanya dibangkitkan oleh orang Melayu sahaja atau orang Cina sahaja, bahkan semua kaum termasuk Melayu, Cina dan India mempersoalkan masa depan bahasa ibunda mereka. Kerana itu persoalan perjuangan bahasa ibunda sebagai ekstrimis atau perkauman adalah adalah tidak berbangkit dan ugutan pihak Kerajaan BN untuk menggunakan ISA bagi membendung apa yang dikatakan sebagai ‘ektrimis bahasa' adalah tidak wajar. Kami mengutuk pihak tertentu yang menganggap perjuangan ini sebagai ekstrimis atau perkauman. Perjuangan isu bahasa adalah perjuangan nasional yang melibatkan semua rakyat tanpa mengira kaum, bukannya isu kaum tertentu sahaja.

Kami menegaskan bahawa penentangan terhadap penggunaan bahasa Inggeris bukan sahaja datang dari persatuan-persatuan pendidikan Cina, bahkan tokoh-tokoh pendidikan Melayu dan Dewan Bahasa dan Pustaka sendiri menolaknya. Adalah penting untuk kami pertegaskan bahasa Kami tidak menentang penggunaan bahasa Inggeris ataupun usaha kerajaan untuk meningkatkan kefasihan berbahasa Inggeris di kalangan rakyat, tetapi Kami menolak cadangan Kerajaan BN untuk memaksa semua sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan mengajarkan subjek sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Kami melihat cadangan ini bukan sahaja tidak praktikal, tetapi juga akan memberikan kesan yang buruk kepada bahasa kebangsaan, bahasa ibunda dan juga sistem pendidikan kebangsaan yang telah menerima bahasa kebangsaan dan bahasa ibunda sebagai pengantar. Kami masih berkeyakinan bahawa bahasa kebangsaan dan bahasa ibunda berkemampuan untuk menjadi bahasa ilmu dan bahasa pengantar di institusi pendidikan.

Kami menggesa Kerajaan BN supaya menarik balik cadangan untuk melaksanakan pengajaran subjek sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Jika kerajaan bermaksud untuk meningkatkan kefasihan berbahasa Inggeris, Kami mencadangkan supaya kerajaan membuat kajian yang menyeluruh tentang punca-punca kelemahan rakyat berbahasa Inggeris dan juga langkah-langkah strategik untuk mengatasinya. Kami melihat bahawa kerajaan mesti meningkatkan prasarana pendidikan, kualiti perguruan, jumlah guru yang mencukupi, pedagogi pengajaran, masa pembelajaran yang mencukupi dan meningkatkan kesedaran rakyat tentang kepentingan bahasa Inggeris untuk maksud tersebut. Langkah memangsakan subjek sains dan matematik adalah tidak wajar sehingga menyebabkan pelajar hampir tidak berpeluang menggunakan bahasa kebangsaan atau bahasa ibunda.

HAJI MAHFUZ HAJI OMAR

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat

 
   
Copyright © 2005 ucscam
版权所有 马来西亚华校董事联合会总会(董总)
Persekutuan Persatuan - Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah China Malaysia
United Chinese School Committees Association of Malaysia.(ucscam)   
Lot 5, Seksyen 10, Jalan Bukit, 43000 Kajang, Selangor. 
电邮: resource@djz.edu.my 电话 : 03-87362337 传真 : 03-87362779